Kajian Tentang Kemahiran Berfikir secara kristis dan Kreatif (KBKK) Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Sekolah Menengah.

Oleh

RAFIEI B. HJ. MUSTAPHA

Panitia Bahasa dan Kesusasteraan Melayu,

Jemaah Nazir Sekolah,

Kementerian Pendidikan.

 

ABSTRAK KERTAS KERJA

 

 

Kajian ini bertujuan untuk melihat sejauh mana unsur-unsur Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif (KBKK) wujud dalam perlaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah-sekolah menengah di negara ini. Seramai 657 orang guru Bahasa Melayu di 185 buah sekolah menengah dari seluruh negara terlibat sebagai responden kajian.

 

Dapatan kajian menunjukkan pengetahuan guru tentang KBKK dalam proses pengajaran dan pembelajaran masih rendah. Kebanyakan guru (66%) tidak jelas tentang kaedah menerapkan unsur KBKK dalam proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu, walaupun ada yang telah diberi pendedahan secara formal. Rancangan Tahunan KBKK tidak disediakan tetapi sebilangan kecil guru (37%) ada mencatatkan objektif KBKK dalam Rancangan Mengajar Harian. Kebanyakan guru tidak menerapkan unsur KBKK dalam kaedah penyampaian pelajaran yang meliputi aspek permulaan (set induksi) dan penggunaan bahan pengajaran. Namun 50% guru yang dikaji ada mengemukakan soalan-soalan yang berunsurkan KBKK dan 55% guru menjalankan aktiviti yang berunsurkan KBKK yang melibatkan pelajar. Latihan bertulis yang ada unsur KBKK diberikan kepada pelajar oleh 52% guru yang dikaji.

 

 

1.0 PENGENALAN

 

Mata pelajaran Bahasa Melayu (BM) merupakan mata pelajaran teras yang wajib diambil oleh semua pelajar di sekolah menengah di negara ini. Pelajar wajib lulus dalam mata pelajaran ini untuk menjamin kelulusan dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

 

Pengajaran BM sekolah menengah menekankan kemahiran lisan dan tulisan. Matlamat pengajaran BM sekolah menengah di negara ini ialah:

 

    1. Menghargai dan membanggakan BM sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara serta alat perpaduan rakyat sesuai dengan prinsip-prinsip Rukunegara.
    2. Memahami sistem BM dari segi bentuk, makna dan fungsinya, dan menggunakannya dengan tepat dalam kehidupan harian.
    3. Menggunakan BM dengan berkesan dalam bidang ilmu pengetahuan.
    4. Menggunakan BM dengan berkesan dalam perhubungan harian, dan
    5. Membaca pelbagai bahan sebagai satu amalan untuk menimba ilmu pengetahuan dan memenuhi masa lapang.

 

Berdasarkan matlamat di atas pengajaran BM sekolah menengah mempunyai objektif untuk membolehkan pelajar:

 

    1. Mendengar, memahami dan menilai pertuturan dalam siaran am dan media massa.
    2. Bertutur dengan fasih dan lancar serta memberikan pendapat dan hujah-hujah yang kritis dan analitis dalam pelbagai situasi.
    3. Membaca pelbagai jenis bahan dengan cekap dan kritis serta dapat membuat tafsiran, penilaian dan rumusan yang wajar.
    4. Membaca, memahami dan menghayati pelbagai bahan sastera dan ilmiah; dan
    5. Menghasilkan pelbagai jenis penulisan.

 

(Kementerian Pendidikan Malaysia,1989:01)

 

Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif (KBKK) merupakan unsur yang diberikan penekanan baru dalam proses pengajaran dan pembelajaran BM dan mata-mata pelajaran lain di bilik darjah. Kementerian Pendidikan melalui Pusat Perkembangan Kurikulum telah memberi pendedahan kepada guru-guru tentang kaedah perlaksanaan unsur tersebut dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Usaha tersebut dijalankan dengan giatnya di peringkat kebangsaan, peringkat negeri, peringkat daerah dan peringkat sekolah sejak tahun 1994.

 

Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu unsur KBKK sebenarnya telah lama wujud melalui unsur-unsur teras Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Cuma dalam proses pengajaran dan pembelajaran, Penekanan unsur tersebut tidak begitu jelas dan semakin terabai. Memandangkan KBKK adalah unsur penting yang dapat menghasilkan pelajar yang berilmu serta berfikiran kritis dan kreatif, maka ia perlu diberi penekanan semula supaya matlamat menghasilkan pelajar dan seterusnya rakyat yang berketrampilan dapat dicapai. Sehubungan itu kajian perlu dibuat untuk melihat sejauh mana kehadiran unsur-unsur KBKK dalam proses pengajaran dan pembelajaran BM supaya usaha memperlengkapkan guru-guru BM dengan pengetahuan tentang KBKK dapat dijalankan secara tepat dan berkesan.

 

1.1 Pernyataan Masalah

 

Pendidikan BM sekolah menengah antara lain bertujuan untuk membolehkan pelajar memberikan pendapat dan hujah yang kritis dan analitis dalam pelbagai situasi serta dapat membuat tafsiran, penilaian dan rumusan yang wajar ke atas pelbagai bahan yang dibaca. Pemikiran kritis, analitis dan kreatif perlu ditanamkan dan disuburkan di kalangan pelajar secara sedar dan terancang oleh guru-guru BM.

 

Perubahan kurikulum BM adalah usaha wajar untuk memenuhi peranan baru mata pelajaran ini. Perubahan tersebut telah melibatkan perubahan kandungan, pendekatan dan kaedah penyebarannya. Namun begitu, di kalangan guru BM, perubahan ini ditanggapi sebagai perubahan kandungan sahaja, sedangkan aspek pendekatan dan kaedah penyebarannya kurang mendapat perhatian mereka.

 

Berdasarkan pemerhatian dan laporan status BM yang dikeluarkan oleh Jemaah Nazir Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia, guru–guru BM belum menerapkan unsur KBKK secara sedar dan terancang dalam proses pengajaran dan pembelajaran BM di bilik darjah. Bekas Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Tan Sri Wan Mohd. Zahid bin Mohd. Nordin pernah menganjurkan agar pengajaran guru memberi tumpuan yang lebih kepada perkembangan dan pertumbuhan minda supaya dapat melahirkan masyarakat yang bukan sahaja berilmu tetapi juga mampu berfikir dan memberi sumbangan secara kreatif dan inovatif. Pandangan tersebut didorong oleh rasa tidak puas hati beliau ke atas fenomena yang berlaku dalam perlaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah termasuk mata pelajaran BM, di mana menurut beliau, pengajaran guru sekadar memindahkan maklumat daripada sumber pengajaran kepada pelajar, tanpa memberi tumpuan kepada kemahiran berfikir.

 

Dalam konteks pengajaran BM, kecenderungan guru untuk meningkatkan pencapaian mata pelajaran BM dalam peperiksaan PMR dan SPM telah mempengaruhi corak pengajaran dan pembelajaran BM di bilik darjah. Implikasinya, wujudlah pengajaran yang amat terikat kepada bahan dan kaedah menjawab soalan peperiksaan. Malah perkembangan langkah-langkah pengajaran adalah bercirikan format soalan peperiksaan.

 

Berdasarkan pemerhatian sebagai nazir BM, pada umumnya pengajaran BM di sekolah-sekolah menengah masih belum menampakkan hala tuju yang jelas ke arah pembentukan pemikiran kritis, analitis dan kreatif di kalangan pelajar. Namun begitu telah wujud pengajaran yang mempunyai ciri-ciri peningkatan pemikiran atau intelek pelajar di kalangan guru BM. Kehadiran ciri-ciri peningkatan intelek dalam proses pengajaran dan pembelajaran bukanlah merupakan suatu tindakan hasil daripada perancangan secara sedar di kalangan guru BM. Tegasnya unsur-unsur tersebut lebih merupakan aktiviti tempelan dan bersifat sampingan. Dalam usaha melengkapkan guru BM dengan pengetahuan tentang penerapan unsur-unsur Kemahiran Berfikir dalam pengajaran BM, maka perlulah diketahui sejauh mana dan dalam bentuk yang bagaimana unsur-unsur tersebut telah sedia hadir dalam proses pengajaran dan pembelajaran BM di peringkat sekolah menengah.

 

 

 

 

1.2 Objektif Kajian

 

1.2.1 Objektif Umum

 

Secara umumnya kajian ini bertujuan untuk melihat sejauh mana unsur-unsur Kemahiran Berfikir wujud dalam perlaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah-sekolah menengah di negara ini.

1.2.2 Objektif Khusus

 

Objektif-objektif khusus kajian ini adalah seperti berikut:

 

1. Melihat tahap pengetahuan guru Bahasa Melayu tentang unsur-unsur Kemahiran Berfikir dalam proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu.

2. Melihat unsur-unsur Kemahiran Berfikir dalam persediaan pengajaran guru.

3. Melihat kehadiran unsur-unsur Kemahiran Berfikir dalam penyampaian keseluruhan pengajaran, iaitu dalam aspek:

 

(a) Set Induksi

(b) Penggunaan bahan asas dan bahan bantu mengajar

(c) Aras soalan dan teknik menyoal

(d) Aktiviti/gerak kerja

(e) Latihan bertulis

 

1.3 Soalan Kajian

 

Berdasarkan objektif-objektif di atas, kajian ini diharap dapat menjawab soalan-soalan berikut:

 

(1) Adakah guru BM mengetahui tentang unsur Kemahiran Berfikir dalam proses pengajaran dan pembelajaran BM di sekolah?

 

(2) Adakah persediaan guru BM menampakkan penekanan unsur-unsur Kemahiran Berfikir pelajar?

 

(3) Adakah set induksi pengajaran menampakkan perkaitan dengan unsur-unsur Kemahiran Berfikir pelajar?

 

(4) Adakah bahan pengajaran yang digunakan oleh guru disampaikan dalam bentuk yang mudah difahami dan diingati oleh pelajar?

 

(5) Adakah penyoalan guru merangsang Kemahiran Berfikir pelajar?

 

(6) Adakah aktiviti/gerak kerja yang dijalankan menerapkan unsur-unsur Kemahiran Berfikir di kalangan pelajar?

(7) Adakah latihan bertulis memberi penekanan kepada aspek Kemahiran Berfikir.

 

1.4 Definisi Konsep

 

1.4.1 Kemahiran Berfikir

 

Edward de Bono dalam buku beliau yang berjudul ‘I am Right You Are Wrong’ (1990) mendefinisikan Berfikir sebagai satu proses yang kompleks yang berlaku dalam minda seseorang apabila orang itu menerokai pengalamannya secara terperinci untuk mencapai sesuatu tujuan. Tujuan yang dimaksudkan itu mungkin untuk pemahaman, memberi makna sesuatu, menilai sesuatu, membuat keputusan atau menyelesaikan masalah. Kemahiran berfikir dalam konteks kajian ini ialah usaha guru dalam mewujudkan kemahiran meningkatkan operasi minda pelajar-pelajar untuk mencapai hasil yang maksimum daripada pemikiran itu.

 

Berdasarkan model yang dikemukakan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) dan Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Kemahiran Berfikir mengandungi komponen-komponen berikut:

 

(a) Pemikiran kritis

(b) Pemikiran kreatif

(c) Menyelesaikan masalah

(d) Membuat keputusan

(e) Kemahiran belajar

 

Kemahiran Berfikir yang dikenal pasti untuk diberi penekanan dalam proses pengajaran dan pembelajaran, menurut Kementerian Pendidikan Malaysia adalah seperti berikut:

 

(a) membanding dan membeza;

(b) membuat ramalan;

(c) menerangkan sebab;

(d) mengkategori;

(e) mencetuskan idea;

(f) menentukan sumber yang dipercayai

(g) menghasilkan metafora;

(h) menghasilkan analogi;

(i) mengusul periksa andaian;

(j) menentukan bahagian-bahagian kecil dan keseluruhan;

(k) membuat inferens;

(l) membuat keputusan;

(m) menyelesaikan masalah.

 

1.4.2 Pengajaran dan Pembelajaran

Menurut Atan Long dalam bukunya Pedagogi, Kaedah Am Mengajar, pengajaran dan pembelajaran merupakan proses interaksi yang berlaku antara tiga komponen penting iaitu guru, murid dan isi pelajaran dalam bilik darjah. Ketiga-tiga komponen tersebut berhubungan antara satu sama lain melalui kaedah. Pengajaran bahasa merujuk kepada proses penyampaian isi pelajaran tentang kebahasaan oleh guru kepada pelajar-pelajarnya. Pembelajaran bahasa pula merupakan perubahan tingkahlaku pelajar tentang kebahasaan hasil daripada penglibatan mereka dalam proses pengajaran yang berlansung di bilik darjah.

 

Tujuan utama pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu ialah untuk membolehkan pelajar-pelajar menguasai sesuatu kemahiran atau beberapa kemahiran dalam Bahasa Melayu.

 

Dalam kajian ini, pengajaran dan pembelajaran yang dimaksudkan adalah meliputi semua kemahiran bahasa yang terkandung dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Menengah iaitu kemahiran lisan, kemahiran membaca dan memaham, kemahiran menulis dan kemahiran Tatabahasa. Ia juga merangkumi segala aktiviti dan penggunaan bahan dalam proses pengajaran dan pembelajaran tersebut.

 

Di antara model pengajaran yang menekankan Kemahiran Berfikir di kalangan pelajar adalah seperti berikut:

(a) Perkenalkan isi kandungan dan proses berfikir;

(b) Berfikir secara aktif - pelajar berfikir secara aktif dengan menggunakan alat pengurusan berfikir;

(c) Berfikir tentang proses berfikir - pelajar disoal tentang proses berfikir yang telah mereka lakukan;

d) Kukuhkan kemahiran dengan latihan tambahan;

(e) Aplikasikan kemahiran dalam situasi harian.

 

1.4.3 Bahan Asas dan Bahan Bantu Mengajar

 

Bahan pengajaran adalah segala peralatan yang digunakan oleh guru untuk membantunya menyampaikan pelajaran di bilik darjah. Bahan boleh dibahagikan kepada dua kategori berdasarkan fungsinya dalam konteks pengajaran guru iaitu bahan asas dan bahan bantu. Dalam konteks kajian ini bahan asas merujuk kepada media utama yang dijadikan sumber isi pengajaran guru. Ia mungkin berbentuk elektronik seperti radio, televisyen, kaset radio atau komputer. Bahan juga boleh terdiri daripada media bukan elektronik seperti buku, akhbar, petikan bercetak, gambar, bahan grafik atau bahan maujud.

 

Bahan bantu mengajar pula merujuk kepada bahan yang berfungsi sebagai penyokong atau pengukuh kepada penyampaian isi oleh guru. Bahan bantu mengajar boleh terdiri daripada apa sahaja peralatan sama ada elektronik atau bukan elektronik. Sebagai contoh guru menggunakan gambar-gambar sebagai bahan bantu untuk memudahkan pelajar memahami isi pelajaran yang bersumberkan petikan bercetak sebagai bahan pengajaran.

 

1.4.4 Penyoalan

 

Penyoalan merupakan aspek penting yang membantu guru menguji pemahaman serta merangsang pemikiran pelajar. Untuk melihat tahap soalan yang dikemukakan oleh guru, kajian ini mengkategorikan soalan-soalan yang dikemukakan oleh guru berdasarkan aras kognitif seperti berikut:

 

(a) Pengetahuan

(b) Kefahaman

(c) Penggunaan

(d) Analisis

(e) Sintesis

    1. Penilaian

 

Berdasarkan ciri-ciri soalan dalam setiap jenis, kajian ini membahagikan enam jenis soalan di atas kepada dua kategori soalan iaitu soalan aras rendah dan soalan aras tinggi. Soalan jenis pengetahuan dan kefahaman di kategorikan sebagai soalan aras rendah sementara soalan jenis penggunaan, analisis, sintesis dan penilaian dikategorikan sebagai soalan aras tinggi.

 

 

 

 

2.0 REKA BENTUK DAN KAEDAH KAJIAN

 

Kajian ini menggunakan kaedah tinjauan, pemerhatian dan temu bual. Maklumat dikumpulkan oleh 20 orang nazir di 185 buah sekolah menengah dari seluruh negara. Data dikumpulkan dengan menggunakan instrumen khas yang dibina sesuai dengan objektif kajian ini Tempoh pengumpulan data ialah dari bulan Januari hingga Ogos 1995. Di samping menggunakan instrumen khas, maklumat-maklumat berkaitan dengan Kemahiran Berfikir juga dikumpulkan melalui temu-bual dengan guru-guru yang dijadikan sampel kajian dan ketua panitia Bahasa Malaysia sekolah-sekolah terlibat.

 

Seramai 657 orang guru telah diperhatikan yang melibatkan pengajaran di peringkat Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5. Bilangan guru yang diperhatikan mengikut setiap tahap adalah seperti Jadual 1 berikut:

 

Jadual 1

 

Bilangan Guru Yang Diperhatikan Mengikut Tingkatan

 

 

 

Tingkatan

 

Bilangan Guru

 

1

123

2

152

3

134

4

136

5

112

 

Jumlah

 

657

 

 

 

2.1 Populasi dan Persampelan

Populasi kajian ini ialah guru Bahasa Melayu yang mengajar di sekolah-sekolah menengah kerajaan dan Bantuan Kerajaan di seluruh negara. Menurut perangkaan Bahagian Penyeliaan Sekolah, Kementerian Pendidikan (1994) terdapat sebanyak 1479 buah sekolah menengah di seluruh negara. Sebanyak 181 buah sekolah menengah (12.2%) terlibat dalam kajian ini. Sampel kajian terdiri daripada 657 orang guru Bahasa Melayu terlatih yang mengajar di sekolah-sekolah tersebut. Taburan sekolah-sekolah dan bilangan sampel yang terlibat ditunjukkan dalam Jadual 2 berikut:

 

Jadual 2

Taburan Sekolah dan Sampel Mengikut Negeri

 

Negeri

Jumlah Sekolah

Menengah

Bilangan Sekolah Dikaji

Bilangan Guru/

Sampel Kajian

 

Perlis

 

Kedah

 

Pulau Pinang

 

Perak

 

Selangor

 

Wilayah Persekutuan

 

Negeri Sembilan

 

Melaka

 

Johor

 

Pahang

 

Terengganu

 

Kelantan

 

Sabah

 

Sarawak

 

20

 

122

 

77

 

167

 

155

 

70

 

79

 

55

 

156

 

108

 

69

 

109

 

147

 

145

 

8

 

17

 

8

 

7

 

8

 

4

 

7

 

9

 

27

 

16

 

12

 

32

 

6

 

23

 

40

 

60

 

32

 

13

 

34

 

4

 

20

 

41

 

109

 

66

 

40

 

78

 

12

 

108

 

JUMLAH

 

 

1,479

 

185

 

657

 

 

 

Sekolah-sekolah yang terlibat terdiri daripada sekolah biasa, Sekolah Asrama Penuh dan Sekolah Vokasional yang terletak di bandar dan luar bandar. Jadual 3 berikut menunjukkan lokasi dan jenis sekolah-sekolah yang terlibat dalam kajian ini:

Jadual 3

Lokasi Dan Jenis Sekolah Yang Terlibat

 

Lokasi/Gred

 

 

 

 

Jumlah

 

Jumlah

Besar

 

 

Jenis

Sekolah

 

Bilangan

Sekolah

 

 

Gred A

 

31

 

 

 

 

 

Asrama Penuh

 

 

 

5

Bandar

 

 

 

Gred B

 

 

 

25

 

56

 

Sekolah Biasa

 

 

47

       

 

SMV

 

 

4

 

 

Gred A

 

 

57

 

 

 

Asrama Penuh

 

 

4

 

Luar Bandar

 

 

Gred B

 

 

68

 

125

 

 

 

Sekolah Biasa

 

 

120

       

 

SMV

 

1

 

 

JUMLAH

 

 

181

 

181

 

 

3.0 DAPATAN KAJIAN

 

Dapatan kajian dihuraikan mengikut tujuh soalan kajian yang dinyatakan dalam bahagian 1.3 halaman 2. Statistik Deskriptif digunakan untuk menjelaskan kedudukan setiap item yang dikaji.

 

Dalam menghuraikan dapatan soalan-soalan kajian tersebut diringkaskan kepada aspek-aspek berikut:

 

(a) Pengetahuan guru

(b) Perancangan

(c) Set Induksi Pengajaran

(d) Bahan Pengajaran

(e) Penyoalan

(f) Aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran

(g) Latihan Bertulis

 

3.1 Latar Belakang Guru

 

Seramai 657 orang guru terlibat sebagai sampel kajian. Mereka terdiri daripada 345 orang (53%) guru siswazah dan 312 orang (47%) guru bukan siswazah. Seramai 566 orang (86%) daripadanya berpengkhususan Bahasa Malaysia. Pengalaman mengajar sebagai guru BM adalah berbeza dan bilangannya dapat dikelompokkan mengikut jangka masa seperti jadual 4 berikut:

Jadual 4

Pengalaman Mengajar Sampel Kajian

 

Jangka Masa

 

 

1 - 3

 

4 - 6

 

7 - 9

 

10 ke atas

 

Jumlah

 

Bilangan/Peratus

 

 

215

(33%)

 

185

(28%)

 

81

(12%)

 

176

(27%)

 

653

 

 

 

3.2 Pengetahuan Guru

 

Data yang diperolehi menunjukkan sebanyak 336 orang sampel (51%) telah diberi pendedahan tentang KBKK secara formal melalui kursus yang dianjurkan oleh PPK atau kursus dalaman oleh pihak sekolah. Walaupun 532 orang guru (81%) pernah mendengar tentang konsep Kemahiran Berfikir dalam proses pengajaran dan pembelajaran didapati cuma 307 orang sampel (47%) yang memahami konsep Kemahiran Berfikir dalam konteks pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu dan cuma 279 orang (42%) memahami objektif Kemahiran Berfikir dalam konteks pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu.

 

Kaedah menerapkan unsur Kemahiran Berfikir dalam proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu masih tidak jelas di kalangan 429 orang guru (66%). Dapatan kajian menunjukkan cuma 228 orang (34%) memahami dengan jelas tentang unsur Kemahiran Berfikir dalam proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Namun begitu hampir kesemua sampel (99%) bersetuju dengan langkah menerapkan unsur Kemahiran Berfikir dalam pengajaran dan pembelajaran.

 

Pengetahuan tentang Kemahiran Berfikir dalam proses pengajaran dan pembelajaran di kalangan guru masih rendah. Majoriti guru tidak jelas tentang kaedah menerapkan unsur Kemahiran Berfikir dalam pengajaran dan pembelajaran, walaupun di kalangan mereka ada yang telah diberi pendedahan secara formal.

 

3.3 Perancangan

 

Penerapan Kemahiran Berfikir dalam proses pengajaran dan pembelajaran memerlukan perancangan khusus tentang aspek-aspek Kemahiran Berfikir yang akan diberi tumpuan sepanjang tahun. Untuk itu Rancangan Tahunan Kemahiran Berfikir perlu disediakan oleh guru Bahasa Melayu. Dapatan kajian ini menunjukkkan cuma 15 orang guru (2%) yang ada menyediakan Rancangan Tahunan yang disisipkan dengan unsur Kemahiran Berfikir. Aspek ini juga belum mendapat perhatian Panitia Bahasa Melayu di sekolah-sekolah terlibat.

 

Berdasarkan Rancangan Harian yang ada disediakan oleh 612 orang guru (94%), didapati 224 daripadanya (37%) mengandungi unsur Kemahiran Berfikir dalam Pernyataan objektifnya. Antara unsur-unsur yang berkaitan dengan Kemahiran Berfikir yang dapat dikesan dalam Rancangan Harian adalah seperti berikut:

 

 

Unsur Kemahiran Berfikir juga terdapat dalam pernyataan Aktiviti Rancangan Harian 225 orang guru (37%). Aktiviti-aktiviti yang dijalankan dan mengandungi unsur Kemahiran Berfikir adalah seperti berikut:

 

Aspek perancangan juga tidak menampakkan kehadiran unsur Kemahiran Berfikir secara sedar dan terancang. Rancangan Tahunan Kemahiran Berfikir tidak disediakan oleh hampir kesemua guru yang terlibat. Antara faktor yang dikenalpasti ialah Rancangan Tahunan Seragam yang disediakan oleh Pejabat Pendidikan Daerah atau Jabatan Pendidikan Negeri belum mengambil kira tentang unsur Kemahiran Berfikir.

 

Walau bagaimanapun unsur Kemahiran Berfikir terdapat dalam Rancangan Harian sebilangan kecil guru. Hal ini disebabkan persediaan Rancangan Harian guru dibuat mengikut kehendak KBSM di mana unsur Kemahiran Berfikir telah sedia terjelma dalam teras KBSM seperti peningkatan daya intelek, peningkatan ilmu pengetahuan dan kemahiran belajar.

 

 

 

3.4 Set Induksi Pengajaran

 

Set induksi penting untuk menarik minat serta perhatian pelajar dan seterusnya memudahkan pemahaman pelajar terhadap pelajaran yang disampaikan.

 

Kajian ini mendapati 460 orang guru (70%) memulakan pengajaran dengan set induksi. Antara aktiviti yang dijalankan oleh guru ialah bersoal jawab seperti yang dilakukan oleh 400 orang guru (87%). Di samping bersoaljawab terdapat juga set induksi sebilangan kecil guru (15%) yang menggunakan bahan rangsangan seperti perakam radio, bahan grafik dan bahan-bahan maujud yang lain.

 

Walaupun set induksi diberi perhatian oleh kebanyakan sampel kajian, unsur Kemahiran Berfikir cuma dapat dikesan dalam set induksi pengajaran 185 orang sampel (40%). Bentuk aktiviti yang dianggap mengandungi unsur Kemahiran Berfikir ialah:

 

 

Kebanyakan guru melaksanakan set induksi dalam pengajaran melalui aktiviti bersoal-jawab. Namun begitu unsur Kemahiran Berfikir dalam aktiviti set induksi cuma terdapat dalam pengajaran sebilangan kecil guru. Kebanyakan guru yang lain hanya mengemukakan soalan-soalan beraras rendah dan kurang mencabar.

 

3.5 Bahan Pengajaran

 

Bahan ada digunakan oleh 593 orang guru (90%) dalam pengajaran mereka. Daripada bilangan tersebut, sebanyak 264 orang (45%) menggunakan buku teks, 278 orang (47%) menggunakan petikan prosa atau puisi dan 55 orang (9%) menggunakan bahan grafik seperti graf, jadual dan carta. Peralatan elektronik seperti perakam radio juga digunakan oleh sebilangan kecil sampel (3%).

 

Di samping bahan pengajaran, bahan bantu mengajar (BBM) turut digunakan oleh 236 orang sampel (36%). Antara BBM yang digunakan ialah seperti perakam radio, carta, gambar dan OHP.

 

Berdasarkan data yang diperoleh, unsur Kemahiran Berfikir dalam penggunaan bahan dan BBM terdapat dalam pengajaran 267 orang guru (45%). Langkah-langkah dalam penggunaan bahan dan BBM yang menampakkan unsur Kemahiran Berfikir ialah:

 

 

 

 

Tahap kewujudan unsur Kemahiran Berfikir dalam penggunaan bahan pengajaran adalah rendah. Hal ini antara lain disebabkan oleh kurangnya tumpuan guru terhadap penyediaan dan penggunaan yang bercirikan Kemahiran Berfikir ke atas bahan pengajaran.

 

3.6 Penyoalan

 

Majoriti guru (91%) mengemukakan soalan secara jelas dan mudah difahami. Namun begitu tumpuan kebanyakan soalan yang dikemukakan cuma berkisar pada aras kognitif yang rendah iaitu soalan-soalan jenis pengetahuan (79%) atau kefahaman (81%). Unsur Kemahiran Berfikir dapat dikesan dalam penyoalan oleh 337 orang guru (51%) di mana soalan-soalan aras tinggi (penggunaan, analisis, sintesis, penilaian) ada dikemukakan.

 

Contoh soalan-soalan aras tinggi yang berunsur Kemahiran Berfikir yang dikemukakan oleh guru adalah seperti berikut:

 

 

 

 

 

 

3.7 Aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran

 

Aktiviti dalam proses pengajaran dan pembelajaran memberi peluang kepada pelajar melibatkan diri secara bermakna. Semakin banyak pelajar terlibat, dijangkakan semakin tinggi pemahaman mereka terhadap perkara yang diperkatakan.

 

Kajian ini mendapati 547 orang guru yang diperhatikan (83%) ada mewujudkan aktiviti yang melibatkan pelajar di mana 371 daripadanya (68%) menampakkan penglibatan pelajar secara aktif dan menyeronokkan. Kebanyakan aktiviti yang dijalankan (62%) melibatkan pelajar secara individu. Penglibatan secara berpasangan terdapat dalam pengajaran 70 orang guru (13%) dan aktiviti secara berkumpulan dijalankan oleh 220 orang guru (40%) dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Sementara itu sebanyak 14 aktiviti pengajaran (3%) ada melibatkan pelajar secara berpasukan.

 

Unsur Kemahiran Berfikir dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat dikesan dalam pengajaran 302 orang guru (55%). Aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah seperti berikut:

 

 

Penglibatan pelajar secara aktif dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran merupakan ciri pengajaran yang memang ditekankan dalam KBSM. Faktor ini turut menggalakkan penerapan unsur Kemahiran Berfikir melalui pelbagai aktiviti sama ada secara individu, berpasangan atau berkumpulan. Sebahagian besar aktiviti yang dijalankan merupakan kecekapan bahasa yang terkandung secara tersurat dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu Menengah Atas.

 

3.8 Latihan Bertulis

 

Latihan bertulis merupakan komponen yang dapat memperkukuh dan meningkatkan pemahaman pelajar ke atas isi pelajaran. Berdasarkan data kajian ini didapati 599 sampel ada memberikan latihan bertulis kepada pelajar di mana 575 (96%) daripadanya didapati sesuai dengan objektif pengajaran. Bentuk latihan bertulis yang diberikan kepada pelajar ialah menjawab soalan kefahaman (46%), membina ayat (22%), merumus/meringkas (19%), menulis karangan (17%) dan latihan-latihan lain (8%).

 

Latihan bertulis merupakan satu lagi komponen pengajaran dan pembelajaran di mana unsur Kemahiran Berfikir dapat dikesan. Didapati 312 sampel (52%) memberikan latihan bertulis yang berunsurkan Kemahiran Berfikir. Di antara latihan bertulis tersebut ialah:

 

 

 

4.0 KESIMPULAN

 

Unsur Kemahiran Berfikir telah wujud secara tidak disedari oleh guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di peringkat sekolah menengah.

Unsur Kemahiran Berfikir hadir dalam aspek-aspek pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu malah dalam aspek-aspek seperti penyoalan, aktiviti dan latihan bertulis, unsur tersebut telah terjelma dalam pengajaran lebih separuh daripada bilangan guru yang dijadikan sampel kajian. Carta palang majmuk berikut menunjukkan tahap kehadiran unsur Kemahiran Berfikir dalam setiap aspek yang dijadikan tumpuan kajian.

 

Keadaan ini merupakan satu petanda positif untuk menjelmakan unsur Kemahiran Berfikir secara sedar dan terancang dalam pengajaran Bahasa Melayu.Justeru itu adalah dicadangkan supaya:

    1. Program pendedahan KBKK oleh pihak berkenaan dijalankan secara lebih terancang dan berkesan. Memandangkan sebahagian besar guru belum menguasai dengan jelas kaedah menerapkan unsur Kemahiran Berfikir dalam proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia.
    2.  

    3. Pihak pengurusan sekolah perlu memastikan guru-guru yang dipilih untuk mengikuti kursus KBKK di peringkat Daerah atau Negeri mestilah berkemampuan untuk menyebarluaskan pengetahuan yang mereka peroleh kepada semua guru di sekolah masing-masing.

 

. (c) Program pendedahan di peringkat sekolah perlu dibuat secara bersungguh-sungguh untuk memastikan maklumat tentang Kemahiran Berfikir difahami oleh guru dan membolehkan mereka melaksanakannya dalam proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu.

 

(d) Panitia Bahasa Melayu di sekolah menengah perlu mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh guru-guru Bahasa Melayu dalam menerapkan unsur Kemahiran Berfikir dalam proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu serta mengambil langkah-langkah berkesan untuk mengatasinya. Dicadangkan supaya bengkel-bengkel tentang Kemahiran Berfikir dianjurkan untuk menghasilkan modul-modul yang berunsurkan Kemahiran Berfikir dalam pengajaran Bahasa Melayu.

 

Intisari Dapatan

 

1. Pengetahuan tentang Kemahiran Berfikir dalam proses pengajaran dan pembelajaran di kalangan guru masih rendah. Majoriti guru tidak jelas tentang kaedah menerapkan unsur Kemahiran Berfikir dalam proses pengajaran dan pembelajaran, walaupun di kalangan mereka ada yang telah diberi pendedahan secara formal.

 

2. Rancangan Tahunan Kemahiran Berfikir tidak disediakan oleh hampir kesemua guru yang terlibat. Walau Bagaimanapun unsur Kemahiran Berfikir dapat dilihat dalam Rancangan Harian sebilangan kecil guru.

 

3. Unsur Kemahiran Berfikir cuma tergambar dalam aktiviti set induksi pengajaran sebilangan kecil guru (40%). Kebanyakan guru yang lain hanya mengemukakan soalan-soalan beraras rendah dan kurang mencabar dalam set induksi pengajaran.

 

4. Tahap kewujudan unsur Kemahiran Berfikir dalam penggunaan bahan pengajaran adalah rendah (45%).

 

5. Aspek penyoalan menampakkan kehadiran unsur Kemahiran Berfikir di kalangan 50% daripada guru-guru yang dikaji. Soalan-soalan aras tinggi jenis penggunaan, analisis, sintesis dan penilaian ada dikemukakan kepada pelajar.

 

6. Unsur Kemahiran Berfikir dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat dikesan dalam pengajaran lebih seperuh (55%) daripada guru-guru yang terlibat.

 

7. Latihan bertulis pelajar yang diberikan oleh 55% guru menampakkan adanya unsur Kemahiran Berfikir.