MASALAH DISIPLIN PELAJAR DAN PENYELESAIANNYA DARI
PERSPEKTIF PENGETUA SEKOLAH
by
Azizah Lebai Nordin
Fakulti Pendidikan
Universiti Malaya
Abstract
Kertas Kerja ini membincang tentang status atau keadaan
disiplin pelajar tingkatan 4 di sekolah-sekolah menengah di Wilayah Persekutuan
Kuala Lumpur. Perkara-perkara lain yang turut dibincangkan ialah faktor-faktor
yang menyumbang kepada masalah disiplin dan strategi yang dijalankan oleh
sekolah dalam membendung dan mengatasi masalah tersebut. Dalam kajian ini
pengkaji telah menghantar soal selidik kepada semua sekolah menengah di
Wilayah Persekutuan. Daripada hasil dapatan soal selidik tersebut pengkaji
telah menemubual 8 orang pengetua, 4 orang mewakili sekolah bermasalah
dan 4 lagi mewakili sekolah tidak bermaalah atau menghadapi masalah disiplin
yang paling minimal. Hasil kajian menunjukkan ponteng sekolah merupakan
masalah yang tertinggi yang dihadapi oleh sekolah-sekolah di Wilayah Persekutuan.
Tidak terdapat perbezaan di antara sekolah gred A dan B dalam menghadapi
masalah disiplin. Tidak terdapat perbezaan di antara sekolah lelaki, sekolah
perempuan dan sekolah bercampur dalam menghadapi masalah disiplin kecuali
masalah laku musnah. Di antara faktor yang menyumbang kepada masalah disiplin
pelajar ialah latar belakang keluarga, kekurangan minat terhadap pelajaran,
pelajar bekerja sambilan, pengaruh persekitaran, pengaruh rakan sebaya,
pengaruh media massa, faktor kekurangan guru dan ketidakhadiran guru ke
sekolah dan faktor diri pelajar sendiri. Di antara strategi yang dijalankan
oleh sekolah dalam membendung dan mengatasi masalah disiplin daripada berlaku
ialah dengan memaklumkan peraturan sekolah kepada pelajar dan ibu bapa,
mengadakan sistem bonus, sistem mentor-mentee, mengadakan program di hujung
semester dan melibatkan pihak luar seperti polis. Kebanyakan sekolah mengikut
prosedur yang ditetapkan oleh sekolah dalam mengambil tindakan ke atas
pelajar yang melanggar disiplin sekolah.
Last updated: 13 July, 1998
URL:https://members.tripod.com/~Devadason/seminar/Azizah.html
E-mail:drobertp@tm.net.my