"Sikap Pentadbir Terhadap Penggunaan Komputer

Dalam Pengurusan Sekolah"

Oleh

Abang Ahmad Ridzuan dan Salawati Talib

 

 

ABSTRAK

 

Bidang kertas kerja ini meninjau isu-isu pengurusan sekolah, khususnya tinjauan tentang sikap pentadbir terhadap penggunaan komputer dalam pentadbiran sekolah-sekolah menengah gred A di Bandaraya Kuching. Dimensi sikap yang dikaji ialah keseronokan, kerisauan dan keyakinan. Sampel kajian ini terdiri daripada 50 orang pentadbir dan pembantu tadbir iaitu Pengetua, Penolong Kanan, Penolong Kanan HEM, Penolong Kanan Kokurikulum, Penyelia Petang, Pembantu Tadbir N7 dan Pembantu Tadbir N9 di sembilan buah sekolah menengah gred A yang mempunyai Tingkatan Enam di Bandaraya Kuching. Borang soal selidik telah digunakan untuk mengumpulkan data. Dapatan kajian ini menunjukkan sikap keseluruhan pentadbir terhadap penggunaan komputer dalam pentadbiran adalah positif, namun kira-kira 85% pentadbir menyatakan rasa kerisauan/ tidak selesa menggunakan komputer; tidak senang orang bercakap tentang komputer (87%); tidak berupaya menggunakan komputer (75%), dan hampir 100% tidak setuju bahawa komputer membantu memudahkan kerja mereka. Ujian Scheffe menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan di antara kumpulan umur 32 hingga 40 tahun dengan kumpulan umur responden yang melebihi 50 tahun. Untuk dimensi sikap keseronokan, terdapat perbezaan yang signifikan di antara kumpulan umur 46 hingga 50 tahun dan kumpulan umur 32 hingga 40 tahun dengan responden yang berumur melebihi 50 tahun. Terdapat perbezaan yang signifikan di antara umur dengan sikap kerisauan dan sikap keseronokan terhadap penggunaan komputer dalam pentadbiran di mana sikap kerisauan dan sikap keseronokan kurang pada golongan umur 50 tahun ke atas (min kerisauan =14.33; min keseronokan=13.00) berbanding dengan golongan umur lebih muda iaitu kurang 20 tahun (min kerisauan=20.67; min keseronokan=21.00). Dapatan kajian ini juga menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang signifikan di antara jantina dengan sikap terhadap penggunaan komputer dalam pentadbiran sekolah; dan di antara pemilikan komputer dan pengalaman mengikuti kursus komputer dengan sikap terhadap penggunaan komputer dalam pentadbiran sekolah.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

  1. Pengenalan

 

 

Dalam dunia alaf ini, boleh dikatakan komputer telah menjadi suatu alat yang amat penting dan telah meresapi semua aspek kehidupan termasuklah bidang pendidikan. Komputer kini bukan sahaja digunakan sebagai alat bantu dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah, malah peranan komputer telah menular pula dalam bidang pentadbiran dan pengurusan sekolah.

 

Menurut Chee Liew Seong (1986), penggunaan komputer dalam pendidikan meliputi bidang pengurusan, pembelajaran dan pengajaran, dan pengajian dalam komputer. Rofidah Sahan Mustafa (1989:3) menegaskan tentang peranan komputer dalam pentadbiran sekolah seperti berikut:

The computer is a rich and complex tool that is increasingly being used in many functional areas. With this in mind, the usage of computer in the school administration should be explored.

 

Menyedari kepentingan penggunaan komputer dalam pentadbiran , Kementerian Pendidikan Malaysia telah meluluskan tender bagi melengkapkan semua Jabatan Pendidikan Negeri dengan komputer untuk melicinkan pentadbirannya. (New Straits Times, 3 Ogos 1989). Dalam usaha ini juga, Pejabat Pendidikan Daerah Cameron Highlands telah menganjurkan kursus dan bengkel komputer untuk pentadbir-pentadbir agar dapat melahirkan pentadbir sekolah yang benar-benar cekap serta mampu mengikut perkembangan arus perdana yang berasaskan teknologi maklumat. ( Utusan Malaysia, 27 Disember 1997:39 ).

 

Oleh kerana sekolah-sekolah di Malaysia telah menjadi semakin kompleks, maka cabaran yang harus dihadapi juga turut meningkat. Sekolah perlu memastikan pengurusannya adalah cekap dalam menguruskan sumber manusianya , tepat dalam penilaian prestasi dan berkesan dalam membuat keputusan. Namun begitu, pentadbiran yang masih beroperasi secara manual sudah pasti bakal menghadapi berbagai-bagai masalah. Cheever et. al. (1986) telah menyenaraikan tujuh masalah pengurusan jika dilaksanakan secara manual :

(a) Maklumat yang tidak mencukupi dan kurang tepat.

(b) Maklumat yang tidak seragam.

(c) Masalah memperolehi maklumat yang telah disimpan.

(d) Masa yang lama diperlukan untuk mengumpul dan memproses data-data

(e) Tidak cukup masa untuk menganalisis data dan membuat perancangan.

(f) Sukar untuk membuat inferensi dan integrasi di antara maklumat.

(g) Tidak dapat menyebarkan maklumat dalam masa yang ditetapkan dan dalam format yang sebenar.

 

Cheever et. al. (1986:25) juga menegaskan, penggunaan komputer dalam pentadbiran boleh mendatangkan kebaikan. Menurutnya:

Advantage using computers in school administration is that each administrator can have electronic access to the same files of data and can retrive them in the form which he or she needs at the moment. With computer, it becomes possible to develop an integrated information management system.

 

Beliau juga memberikan empat matlamat yang boleh dicapai dengan penggunaan komputer dalam pentadbiran:

(a) Mengurangkan kos pentadbiran

(b) Meningkatkan kecekapan dalam operasi pentadbiran

(c) Meningkatkan output sesuatu organisasi

(d) Menyokong program pengajaran dan pembelajaran

 

    1. Peranan Komputer dalam Pentadbiran Sekolah

Memandangkan iklim sekolah kini yang semakin rencam, tugas pentadbirannya juga menjadi bertambah rumit. Saiz sekolah yang semakin besar menyukarkan guru menilai prestasi pelajar dengan jitu. Oleh itu, sekolah disarankan menggunakan komputer sebagai instrumen pengendalian pengurusan dan pentadbiran (Wan Mohd. Zahid, 1993). Crawford (1985) pula telah menyenaraikan empat situasi utama yang memerlukan bantuan komputer dalam pentadbiran di sekolah, iaitu:

 

(a) Apabila banyak data hendak diproses mengikut prosedur tertentu.

(b) Apabila memproses maklumat merupakan tugas yang kerap dilakukan

(c) Apabila memproses maklumat perlu dilakukan dengan pantas

(d) Apabila tidak praktikal melakukan sesuatu tugas secara manual.

 

Di sesebuah sekolah, penggunaan komputer dapat memenuhi beberapa fungsi pemperosesan data, contohnya untuk membantu pihak pentadbir mengurus sekolah dengan lebih cekap (Visscher,1992). Fungsi-fungsi ini dapat diringkaskan seperti berikut:

(a) Mengemaskini data: memperbaharui dan memasukkan semua perubahan yang berlaku di persekitaran sekolah atau pun dalam sekolah itu sendiri. (contohnya: data permohonan pelajar dimasukkan ke dalam sistem pengkalan data).

(b) Pencarian data dan penghasilan dokumen: melaporkan apa yang berlaku di sekolah serta membuat diagnosis terhadap data yang diperolehi bagi membuat laporan dan tindakan. (contohnya: laporan tentang pelajar yang masih perlu menghantar data untuk kegunaan sekolah).

  1. Membantu membuat keputusan: terdapat sesetengah masalah yang berstruktur di mana penyelesaiannya adalah terhad dan cara untuk menyelesaikannya telah sedia diketahui. Untuk masalah yang tidak berstruktur di mana ianya memerlukan kajian yang teliti untuk diselesaikan, komputer dapat membantu pentadbir dalam membuat keputusan dan mencari jalan penyelesaian yang sesuai. Ini adalah kerana komputer dapat memberikan maklumat-maklumat yang diperlukan dengan pantas dan mudah.

 

 

 

 

(d) Membuat keputusan: komputer sendiri berupaya membuat keputusan berdasarkan maklumat yang ada. (contohnya: apabila ciri-ciri kenaikan pangkat dipenuhi oleh seseorang maka secara automatik keputusan untuk menaikan pangkatnya boleh dibuat)

(e) Komunikasi: sistem jaringan yang "on-line" antara satu tempat dengan tempat yang lain membolehkan pertukaran dan penyebaran maklumat berlaku. (contohnya: data kedatangan pelajar dapat diedarkan melalui komputer).

 

Oleh itu, tugas pentadbiran sekolah mestilah dilakukan dengan bantuan komputer supaya pengurusan dan pentadbiran sekolah akan menjadi lebih cekap dan berkesan. Persoalannya, apakah pentadbir di sekolah telah bersedia untuk mentadbir sekolah dengan teknologi baru ini? Apakah sikap mereka dalam merealisasikan penggunaan komputer dalam pentadbiran sekolah? Kesemua persoalan ini mestilah digarap terlebih dahulu bagi memastikan apa yang diingini dapat dilaksanakan.

 

    1. Permasalahan Kajian

 

Dewasa ini tugas guru bukan sekadar berlegar kepada tugas-tugas pengajaran dan pembelajaran malah ianya juga melibatkan tugas pentadbiran sekolah tersebut. Pentadbiran yang cekap dan bersistematik akan dapat melicinkan perjalanan organisasi sesebuah sekolah dan seterusnya dapat meningkatkan pencapaian akademik dan kokurikulum pelajar-pelajar.

 

Golongan pentadbir di sekolah mulai sedar dan faham tentang potensi komputer sebagai alat yang berguna dalam pentadbiran pendidikan sekolah. Peningkatan beban tugas, pertambahan permintaan terhadap penyelesaian tugas seperti penyediaan laporan, memo dan dalam masa yang sama mengekal dan mengemaskinikan data statistik untuk keperluan semua peringkat pentadbiran menyebabkan meningkatnya kepentingan penggunaan komputer dalam tugas-tugas pentadbiran (Mohamad Rashid Ravi Bax, 1987).

 

Pendapat Visscher (1996:291) juga menggambarkan peranan komputer dalam membantu meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pentadbiran sesebuah organisasi. Menurutnya;

The tangible advantages of computer use in terms of efficiency and effectiveness have led to the wide utilization of computer technology for the operation and management of school organization.

Wawasan negara yang mementingkan produktiviti dan kualiti serta penubuhan "Smart School" yang mementingkan "Smart Management" menjadikan kepentingan penggunaan komputer dalam pentadbiran semakin meningkat. Walau bagaimanapun, penggunaan komputer dalam pentadbiran sekolah masih di tahap yang tidak memberangsangkan. Terdapat banyak kajian yang melaporkan tahap penggunaan komputer dalam pentadbiran sekolah masih di tahap rendah. Mohamad Rashid Ravi Bax (1987) mendapati penggunaan komputer dalam pentadbiran sekolah-sekolah menengah teknik dan vokasional masih di tahap minima. Kajian Rofidah Sahan Mustafa (1989) pula melaporkan penggunaan komputer adalah sangat rendah untuk pentadbiran Skim Pinjaman Buku Teks. Kajian oleh Mustafa Sidi (1995) juga mendapati penggunaan komputer dalam pentadbiran adalah rendah di sekolah-sekolah menengah daerah Kuantan.

 

Semua dapatan kajian ini seolah-olah menggambarkan bahawa masih tidak wujud kesediaan mental dan fizikal di kalangan pentadbir-pentadbir sekolah untuk menerima komputer dan menggunakannya dalam tugas pentadbiran mereka. Sikap pentadbir yang masih di takuk lama ini perlu diubah demi merealisasikan penggunaan komputer dalam pentadbiran sekolah.

 

Sikap terhadap komputer adalah salah satu daripada faktor yang membawa kepada kesediaan guru menerima komputer dalam tugas sehariannya. Sikap yang positif adalah penting untuk mendorong seseorang bagi mempelajari apa sahaja (Zulkifli Abdul Manaf & Raja Maznah Raja Hussain, 1994). Sikap atau faktor kesediaan mental, pengetahuan dan kemahiran di kalangan anggota adalah penting ke arah sesuatu perubahan di dalam sesebuah organisasi (Steers & Black, 1994). Oleh yang demikian, sikap pentadbir terhadap penggunaan komputer perlu dilihat agar penggunaan komputer dalam pentadbiran di sekolah akan meningkat dan pengurusan sekolah akan semakin baik.

 

1.3 Matlamat Kajian

 

Pada amnya kajian ini berhasrat untuk melihat sikap pentadbir terhadap penggunaan komputer dalam pengurusan pentadbiran sekolah-sekolah menengah gred A yang mempunyai Tingkatan Enam di Bandaraya Kuching .

 

1.4 Objektif

(a) Objektif Umum

 

Kajian ini bertujuan mengenalpasti apakah sikap pentadbir terhadap penggunaan komputer dalam pengurusan pentadbiran sekolah-sekolah menengah gred A yang mempunyai Tingkatan Enam di Bandaraya Kuching .

 

(b) Objektif Khusus

 

(i) Mengenalpasti sikap pentadbir terhadap penggunaan komputer dalam pentadbiran.

    1. Mengenalpasti perbezaan di antara umur, jantina, pemilikan komputer dan pengalaman mengikuti kursus komputer dengan sikap pentadbir terhadap penggunaan komputer dalam pentadbiran.
    2. Mengenalpasti perbezaan di antara 4 dimensi sikap iaitu kerisauan, keseronokan, keyakinan dan sokongan dan melihat susunan 4 dimensi sikap mengikut keutamaan.

 

1.5 Soalan Penyelidikan

 

(a) Apakah sikap pentadbir terhadap penggunaan komputer dalam pengurusan pentadbiran .

(b) Apakah terdapat perbezaan yang signifikan di antara umur, jantina, pemilikan komputer dan pengalaman mengikuti kursus komputer dengan sikap pentadbir terhadap penggunaan komputer dalam pentadbiran .

(c) Apakah terdapat perbezaan yang signifikan di antara tiga dimensi sikap iaitu kerisauan, keseronokan, dan keyakinan serta apakah dimensi sikap utama responden terhadap penggunaan komputer dalam pentadbiran.

 

 

1.6 Kepentingan Kajian

 

Kajian ini penting kerana :

 

 

(a) Ia berguna kepada Kementerian Pendidikan terutama Bahagian

Perancangan dan Penyelidikan , Bahagian Perkhidmatan Komputer (BPK) , Jabatan Pendidikan Negeri serta Pejabat Pendidikan Daerah dalam usaha merangka pelaksanaan penggunaan komputer dalam pengurusan pentadbiran secara teratur.

 

 

(b) Ia berguna dalam membuat perancangan kesesuaian program latihan komputer yang diperlukan.

 

(c) Penggunaan komputer dalam pengurusan pentadbiran meningkatkan keberkesanan dan kecekapan pengurusan. Dapatan-dapatan kajian dan cadangan-cadangan dalam rumusan boleh dijadikan panduan bagi mengatasi masalah yang dihadapi untuk meningkatkan keupayaan sekolah menggunakan komputer dalam pengurusan pentadbiran.

 

1.7 Skop dan Batasan Kajian

 

Kajian ini telah dijalankan di sembilan buah sekolah menengah gred A yang mempunyai Tingkatan Enam di Bandaraya Kuching, Sarawak. Sekolah-sekolah itu ialah Kolej Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah, SMK Tun Openg, SMK Sheikh Haji Othman Abdul Wahab, SMK Green Road, SMK Datuk Patinggi Haji Abdul Ghapor, SMK Batu Lintang, SMK Bandar Kuching No.1, SMB St. Joseph, dan SMB St. Thomas. Sekolah-sekolah menengah tinggi ini dipilih kerana menurut Jo (1996), tahap penggunaan komputer dalam pentadbiran adalah paling tinggi di sekolah menengah tinggi, sederhana di sekolah menengah dan paling rendah di sekolah persediaan . Sembilan buah sekolah gred A ini juga dipilih kerana sekolah-sekolah ini mempunyai bilangan pelajar, kakitangan akademik dan kakitangan bukan akademik yang ramai berbanding sekolah-sekolah menengah gred B. Oleh yang demikian, pengurusan pentadbirannya adalah lebih kompleks dan ini menyebabkan pentadbirannya memerlukan bantuan komputer dalam usaha melicinkan lagi perjalanan pentadbirannya. Seramai 50 orang responden kajian ini ialah pentadbir sekolah yang terdiri daripada Pengetua, Penolong Kanan Pentadbiran, Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar, Penyelia Petang, Pembantu Tadbir N7 dan Pembantu Tadbir N9. Pentadbir adalah golongan yang menentukan hala tuju dan dasar sesebuah sekolah dan terlibat dalam pengoperasian organisasi sekolah. Oleh itu , golongan ini merupakan kumpulan yang penting dalam menentukan kejayaan atau kegagalan sesuatu program atau pembaharuan.

 

Sikap yang dikaji hanya meliputi dimensi keseronokan, keyakinan, dan kerisauan terhadap penggunaan komputer dalam pengurusan pentadbiran sekolah. Dimensi-dimensi sikap yang lain tidak termasuk dalam kajian ini kerana soal selidik yang digunakan tidak mengandungi soalan-soalan yang termasuk dalam dimensi-dimensi sikap yang lain.

 

 

2.0 Kajian Tentang Sikap Terhadap Penggunaan Komputer

 

Sikap mempunyai afektif atau nilai dan ia ditentukan oleh kepercayaan seseorang tentang objek sikap tersebut (Fishbein, 1975). Sikap mempunyai hubungan dengan gabungan semua kepercayaan seseorang itu terhadap objek tersebut, tidak semestinya dengan hanya satu-satu kepercayaan sahaja. Sikap terhadap sesuatu objek juga mempunyai hubungan dengan niat seseorang untuk melakukan berbagai-bagai tingkahlaku berkaitan objek tertentu. Apabila telah terbentuk dengan mantap, sikap akan mempengaruhi pula pembentukan kepercayaan-kepercayaan baru. Begitu juga perlakuan tingkah laku tertentu mungkin akan membawa kepada kepercayaan-kepercayaan baru terhadap objek sikap itu dan akibatnya mempengaruhi sikap yang terbentuk.

Menurut Fishbein & Ajzen (1980), sikap merupakan suatu sistem yang kompleks dan terdiri daripada kepercayaan-kepercayaan seseorang itu terhadap sesuatu objek, perasaannya terhadap objek tersebut dan kecenderungan untuk bertindak berkaitan objek tersebut. Ia menggambarkan bahawa keseluruhan pengalaman seseorang itu adalah berkaitan dengan objek sikap tersebut yang meliputi aspek-aspek kognitif, afektif dan tingkah laku (psikomotor). Oleh itu, pengukuran sikap perlu mengambilkira ketiga-tiga aspek ini untuk gambaran yang lengkap tentang sikap terhadap sesuatu objek atau perkara.

 

 

Terdapat banyak kajian sama ada di luar negara mahupun di dalam negara yang telah melihat apakah sikap yang ditunjukkan oleh pelajar, guru-guru, pentadbir dan ibu bapa terhadap penggunaan komputer. Simair (1982) telah mengkaji pandangan guru, pentadbir dan ibu bapa terhadap penggunaan komputer dalam pentadbiran sekolah. Beliau mendapati sikap keseluruhan kakitangan termasuk setiausaha, guru-guru, pentadbir dan ibu bapa adalah positif terhadap penggunaan komputer dalam pentadbiran.

 

Brown (1984) pula mengkaji sikap guru di Kanada terhadap penggunaan komputer untuk tujuan pentadbiran dan mendapati guru-guru bersikap positif terhadap perubahan tersebut. Madsen & Sebastiani (1987) dalam kajian mereka terhadap guru-guru melaporkan majoriti responden bersikap positif terhadap komputer. Pada tahun yang sama, Mohamed Rashid Ravi Bax (1987) telah menjalankan kajian terhadap pengetua di sekolah menengah teknik dan vokasional. Dapatan kajiannya menunjukkan bahawa majoriti pengetua mempunyai sikap yang positif terhadap penggunaan komputer.

 

Summers (1988) pula mengkaji sikap guru-guru sekolah rendah terhadap komputer dan merumuskan 40% responden menunjukkan sikap negatif, 30% menunjukkan sikap neutral dan 30% menunjukkan sikap positif. Kajian Rofidah Sahan Mustafa (1989) terhadap guru-guru sekolah menengah mendapati 75% guru bersetuju bahawa komputer boleh membantu menyelesaikan tugas pengurusan. Muhammad Doraman (1992) membuat kajian terhadap pelatih maktab dan mendapati responden menunjukkan sikap positif terhadap komputer. Dupagne & Krendl (1992) pula telah mengkaji sikap guru-guru terhadap komputer dan dapatannya juga menunjukkan sikap guru-guru terhadap komputer adalah positif. Kajian Pelgrum & Plomp (1993) juga mendapati guru-guru dan murid mempunyai sikap yang positif terhadap komputer.

 

Zulkifli Abdul Manaf & Raja Maznah Raja Hussain (1994) pula menjalankan kajian terhadap pelatih di Universiti Malaya dan mendapati 83% pelatih bersikap positif terhadap komputer, 13.9% bersikap sederhana dan 2.4% bersikap negatif terhadap komputer. Kajian terhadap pensyarah maktab telah dilakukan oleh Jusni Nasirun (1995) dan beliau mendapati kebanyakkan pensyarah bersikap positif yang sederhana terhadap komputer. Rohana Abdul Rahman (1995) dalam kajiannya mendapati guru-guru bersikap positif terhadap penggunaan komputer dalam pentadbiran. Ini adalah selaras dengan dapatan kajian oleh Mustafa Sidi (1995) yang melaporkan majoriti pentadbir sekolah menengah Daerah Kuantan bersikap positif terhadap penggunaan komputer untuk pentadbiran. Kajian Walters & Necessary (1996) terhadap pelajar perniagaan juga mendapati semua responden bersikap positif terhadap penggunaan komputer. Jelaslah daripada kajian-kajian yang telah dilakukan menunjukkan sejumlah besar dapatan merumuskan sikap yang positif terhadap penggunaan komputer .

 

Omar Mohammed (1992) mengkaji sikap pelajar kolej terhadap komputer dan dapatan kajiannya menunjukkan pelajar kelas atas iaitu yang umurnya lebih tua mempunyai sikap yang lebih positif terhadap penggunaan komputer berbanding dengan pelajar kelas bawah yang lebih muda. Dalam kajian yang dilakukan oleh Robertson et.al. (1995) tentang sikap guru dan pelajar sekolah menengah terhadap komputer mendapati pelajar kurang risau berbanding dengan guru. Ini menunjukkan golongan pelajar yang umurnya lebih muda mempunyai sikap yang lebih positif berbanding dengan golongan guru yang umurnya lebih tua. Sebaliknya, kajian Walters & Necessary (1996) terhadap graduan kelas bawah dan kelas atas mendapati pelajar senior yang umurnya lebih tua bersikap lebih positif berbanding pelajar kelas bawah yang lebih muda. Ini menunjukkan bahawa faktor umur boleh mempengaruhi sikap terhadap penggunaan komputer.

 

 

Kajian oleh Chen (1986) tentang jantina dan komputer melaporkan responden lelaki mempunyai sikap yang lebih positif berbanding responden perempuan. Liu (1990) dalam kajiannya mendapati responden lelaki kurang bimbang menggunakan komputer berbanding responden perempuan. Martin (1991) pula mendapati pelajar lelaki bersikap lebih positif daripada pelajar perempuan. Dapatan yang sama juga telah diperolehi oleh Dupagne & Krendl (1992) . Mereka melaporkan guru lelaki lebih bersikap positif tentang komputer jika dibandingkan dengan guru perempuan.

 

Walau bagaimanapun, kajian Kay (1993) mendapati sikap responden perempuan adalah sama dengan sikap responden lelaki terhadap komputer. Ini bertepatan dengan dapatan kajian Robertson et.al. (1995), Parish (1996) dan Noran Fauziah Yaakub et.al. (1996) yang mengatakan tiada perbezaan yang signifikan di antara jantina lelaki dan perempuan terhadap penggunaan komputer. Daripada kajian-kajian yang telah ditinjau, dapatlah dirumuskan bahawa kajian-kajian awal menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan di antara jantina dengan sikap terhadap penggunaan komputer.

 

Tidak kurang pula penyelidik yang berminat untuk mengkaji hubungan antara pemilikan komputer dengan sikap terhadap penggunaan komputer. Antaranya ialah kajian oleh Harvey & Wilson (1985) terhadap pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah telah mendapati pelajar yang mempunyai komputer peribadi mempunyai sikap yang lebih positif daripada pelajar yang tidak mempunyai komputer sendiri.

 

Walau bagaimanapun, Mohamed Rashid Ravi Bax (1987) mendapati tiada perbezaan yang signifikan antara pemilikan komputer dengan sikap pengetua terhadap penggunaan komputer dalam pentadbiran sekolah. Ini bertentangan dengan dapatan kajian Geissier & Horridge (1993) yang melaporkan pelajar yang mempunyai komputer mempunyai sikap yang lebih positif terhadap komputer .

 

3.0 Instrumen Kajian

 

Pendekatan yang telah digunakan untuk mengumpulkan data bagi kajian ini ialah dengan menggunakan borang soal selidik. Pada dasarnya, kajian ini adalah lanjutan kajian yang telah dibuat oleh Mustafa Sidi (1995). Soal selidik yang digunakan oleh Mustafa Sidi (1995) mengandungi soalan-soalan tentang sikap, kemahiran, tahap dan masalah penggunaan komputer dalam pentadbiran. Oleh kerana kajian ini hanya memberi tumpuan kepada sikap pentadbir terhadap penggunaan komputer dalam pentadbiran maka hanya soalan tentang sikap sahaja yang digunakan daripada soal selidik Mustafa Sidi (1995). Pengkaji telah memilih untuk menggunakan borang soal selidik ini kerana kajian yang telah dijalankan mempunyai ciri-ciri yang hampir sama dengan kajian Mustafa Sidi (1995) iaitu tentang penggunaan komputer dalam pentadbiran sekolah.

 

 

4.0 Dapatan Kajian: Analisis Sikap Pentadbir Terhadap Komputer

 

4.1 Kerisauan Terhadap Komputer

 

Taburan frekuensi terhadap dimensi sikap kerisauan ditunjukkan dalam Jadual I. Analisis ini menunjukkan 84.7% (71.7% + 13.0%) pentadbir setuju dan sangat setuju dengan pernyataan yang menyebut rasa tidak selesa dan tertekan jika menggunakan komputer dan cuma 6.5% pentadbir yang memberikan kata tidak setuju untuk pernyataan ini.

 

Dapatan analisis ini juga menunjukkan sejumlah 74.4% (48.9% + 25.5%) pentadbir setuju dan sangat setuju dengan pernyataan saya tidak berupaya menggunakan komputer, 6.4% tidak bersetuju manakala 2.1% pentadbir sangat tidak bersetuju dengan pernyataan ini. Sejumlah 75.6% pula menunjukkan responden setuju dan sangat setuju bahawa komputer mengganggu kelicinan sekolah.

 

Seterusnya, sejumlah 57.8% (46.7% + 11.1%) pentadbir bersetuju dan sangat setuju bahawa kadangkala komputer mencemaskan mereka dan cuma terdapat 28.9% pentadbir tidak bersetuju dengan pernyataan ini.

 

Untuk item yang menyatakan responden merasa tidak senang jika orang bercakap tentang komputer, sejumlah 87.2% (57.4% + 29.8%) pentadbir bersetuju dan sangat bersetuju, dan cuma 6.4% pentadbir tidak bersetuju dengan pernyataan ini.

 

Daripada analisis data yang telah diperolehi, ianya menunjukkan bahawa majoriti responden rasa tidak selesa dan tertekan menggunakan komputer, tidak berupaya menggunakan komputer, komputer mencemaskan mereka, berada di bilik yang ada komputer mencemaskan mereka dan tidak senang jika orang bercakap tentang komputer. Ini tentunya akan mempengaruhi sikap serta kesediaan responden menggunakan komputer dalam tugas mereka.

 

Jadual I: Taburan Frekuensi Kerisauan Terhadap Komputer

No. Item

Pernyataan

1

%

2

%

3

%

4

%

5

%

2

Saya rasa tidak selesa dan tertekan jika menggunakan komputer.

-

-

3

6.5

4

8.7

33

71.7

6

13.0

3

Saya tidak berupaya menggunakan komputer.

 

1

2.1

 

3

6.4

 

8

17.0

 

23

48.9

 

12

25.5

4

Kadang kala komputer mencemaskan

saya.

 

-

-

 

13

28.9

 

6

13.3

 

21

46.7

 

5

11.1

7

Bilik yang ada komputer menjadikan saya kurang selesa.

 

-

-

 

2

4.3

 

3

6.5

 

29

63.0

 

12

26.1

21

Komputer kerap mengganggu kelicinan pentadbiran sekolah.

 

3

6.4

2

4.3

9

18.8

21

46.7

13

28.9

9

Saya tidak senang jika orang cakap tentang komputer.

 

-

-

 

3

6.4

 

3

6.4

 

27

57.4

 

14

29.8

1 = Sangat tidak setuju 2 = Tidak Setuju 3 = Tidak Pasti

4 = Setuju 5 = Sangat Setuju

 

 

 

 

4.2. Keyakinan Terhadap Komputer

 

Analisis taburan frekuensi jawapan yang diberikan oleh responden kepada 7 item yang termasuk dalam dimensi sikap keyakinan ditunjukkan dalam Jadual II . Dapatan analisis ini menunjukkan majoriti responden iaitu 63.8% (55.3% +8.5%) setuju dan sangat bersetuju mereka merasa yakin dengan kebolehan mereka menggunakan komputer, 4.3% responden menyatakan mereka tidak yakin dan cuma 4.3% responden menyatakan mereka sangat tidak yakin tentang kebolehan mereka menggunakan komputer.

 

Untuk item yang menyatakan mereka merasa tidak sesuai bekerja menggunakan komputer, sejumlah 75% (52.1% +22.9%) pentadbir setuju dan sangat setuju dengan kenyataan ini, 6.3% tidak bersetuju dan cuma 2.1% menyatakan sangat tidak bersetuju dengan pernyataan ini. Ini menunjukkan majoriti responden merasa tidak sesuai bekerja menggunakan komputer dan ini akan menyebabkan mereka kurang berminat menggunakan komputer dalam melaksanakan tugas pentadbiran.

 

Analisis ini juga mendapati sejumlah 64.6% responden iaitu pentadbir tidak setuju bahawa komputer membantu memudahkan kerja mereka dan 35.4% pentadbir sangat tidak bersetuju dengan pernyataan ini.

 

Daripada analisis data yang telah diperolehi maka ianya menunjukkan bahawa majoriti responden berasa yakin terhadap penggunaan komputer dan ini akan memberikan implikasi kepada sikap mereka terhadap penggunaan komputer dalam urusan pentadbiran di sekolah.

 

Jadual II: Taburan Frekuensi Keyakinan Terhadap Komputer

 

No. Item

Pernyataan

1

%

2

%

3

%

4

%

5

%

10

Saya yakin dengan kebolehan saya menggunakan komputer.

 

2

4.3

2

4.3

13

27.7

26

55.3

4

8.5

12

Saya tidak sesuai bekerja menggunakan komputer.

 

1

2.1

3

6.3

8

16.7

25

52.1

11

22.9

13

Saya boleh tingkat prestasi kerja menggunakan komputer.

 

-

-

1

2.1

1

2.1

31

64.6

15

31.3

14

Komputer sangat mempengaruhi dan kawal kerja saya.

 

1

2.1

14

29.2

13

27.1

17

35.4

3

6.3

 

 

15

Komputer membantu mudahkan kerja saya.

 

17

35.4

31

64.6

-

-

-

-

-

-

16

Komputer cepatkan tugas saya.

 

-

-

-

-

3

6.3

30

62.5

15

11.1

22

Komputer sangat berguna bantu selesaikan tugas saya.

 

1

2.1

1

2.1

9

18.8

26

54.2

11

22.9

 

1 = Sangat tidak setuju 2 = Tidak Setuju 3 = Tidak Pasti

4 = Setuju 5 = Sangat Setuju

 

 

 

4.3 Keseronokan Terhadap Komputer

 

Analisis taburan frekuensi jawapan yang diberikan oleh responden kepada 5 item yang termasuk dalam dimensi sikap keseronokan ditunjukkan dalam Jadual III. Analisis dapatan ini menunjukkan 77.1% (52.1% + 25.0%) pentadbir bersetuju dan sangat bersetuju untuk sedia belajar sendiri menggunakan komputer, manakala sejumlah 14.6% pentadbir tidak bersetuju dengan pernyataan ini.

 

Bagi pernyataan yang menyebut saya setuju untuk mengikuti kelas komputer pula, sejumlah 91.7% (52.1% + 39.6%) pentadbir bersetuju dan sangat bersetuju dengannya. Cuma terdapat 2.1% pentadbir yang sangat tidak bersetuju untuk mengikuti kelas komputer.

 

Pentadbir yang memberikan respon bersetuju dan sangat bersetuju bahawa mereka gembira menggunakan komputer semasa menjalankan tugas ialah sebanyak 72.4% (42.6% + 29.8%) .Sebaliknya, pentadbir yang tidak bersetuju dan sangat tidak bersetuju bahawa mereka gembira menggunakan komputer semasa menjalankan tugas mereka adalah sebanyak 2.1% sahaja.

 

Dapatan-dapatan ini menunjukkan bahawa majoriti responden merasa seronok menggunakan komputer dalam tugas mereka dan ini akan mempengaruhi kesediaan mereka menggunakan komputer.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Jadual III: Taburan Frekuensi Keseronokan Terhadap Komputer

No. Item

Pernyataan

1

%

2

%

3

%

4

%

5

%

1

Saya sedia belajar sendiri menggunakan komputer.

 

-

-

7

14.6

4

8.3

25

52.1

12

25.0

5

Saya setuju untuk mengikuti kelas komputer.

 

1

2.1

-

-

3

6.3

25

52.1

19

39.6

6

Saya gembira guna komputer semasa jalankan tugas.

 

1

2.1

1

2.1

11

23.4

20

42.6

14

29.8

8

Saya seronok bekerja guna komputer.

 

-

-

3

6.5

6

13.0

24

52.2

13

28.3

23

Hidup saya tidak bermakna jika tidak guna komputer.

 

9

18.8

21

43.8

14

29.2

4

8.3

-

-

 

1 = Sangat tidak setuju 2 = Tidak Setuju 3 = Tidak Pasti

4 = Setuju 5 = Sangat Setuju

 

 

 

 

 

4.4 Perbezaan Umur dengan Sikap

 

Untuk menganalisis perbezaan antara kumpulan umur responden dengan sikap responden mengikut dimensi-dimensi sikap terhadap komputer, ujian One-Way Anova telah dibuat dan dapatannya adalah seperti Jadual V. Daripada ujian tersebut, didapati ada perbezaan yang signifikan di antara kumpulan umur dengan dimensi sikap kerisauan

( F=2.57; p<0.05) dan dimensi sikap keseronokan (F=5.24; p<0.05) terhadap penggunaan komputer dalam pentadbiran. Jadual V juga menunjukkan tiada perbezaan yang signifikan di antara kumpulan umur dengan dimensi sikap keyakinan. Ini menunjukkan bahawa umur (sedikit sebanyak) merupakan penentu kepada sikap keseronokan dan kerisauan responden terhadap penggunaan komputer.

 

 

 

 

 

 

 

Jadual V : Perbezaan Di antara Umur Responden Dengan Sikap Terhadap

Komputer. (ANOVA)

 

Sikap

Source

D.F.

Sum of Squares

Mean Squares

F

Ratio

F

Prob. (p)


Keseronokan

Between Groups

 

Within Groups

 

5

 

44

103.42

 

173.82

20.68

 

3.95

 

5.24

 

p<0.05


Kerisauan

Between Groups

 

Within Groups

 

5

 

44

88.42

 

302.16

17.68

 

6.87

 

2.57

 

p<0.05

 

Keyakinan

Between Groups

 

Within Groups

 

5

 

44

43.45

 

506.62

8.69

 

11.51

 

0.75

 

(ts)

 

 

p > 0.05 = Perbezaan tidak signifikan (ts)

 

 

Untuk mengetahui kumpulan umur manakah yang mempunyai perbezaan yang signifikan ujian Scheffe dilakukan. Analisis ujian Scheffe telah dilakukan untuk kedua-dua dimensi sikap yang menunjukkan perbezaan yang signifikan dengan umur iaitu dimensi sikap keseronokan dan kerisauan. Untuk dimensi sikap kerisauan, dapatan ujian ini menunjukkan kumpulan umur 3 iaitu yang berumur antara 32 hingga 40 tahun berbeza secara signifikan daripada kumpulan umur 6 iaitu responden yang berumur melebihi 50 tahun . Manakala bagi dimensi sikap keseronokan pula, dapatan ujian Scheffe menunjukkan kumpulan 5 ( 46 hingga 50 tahun) dan kumpulan 3 ( 32 hingga 40 tahun) berbeza secara signifikan daripada kumpulan 6 ( melebihi 50 tahun). Ini ditunjukkan dalam Jadual VI dan Jadual VII.

 

Jadual VI: Ujian Scheffe Perbezaan Dimensi Sikap Kerisauan

 

Umur

 

>50 tahun

41-45 tahun

46-50 tahun

32-40 tahun

20-31 tahun

 

Min

         

>50 tahun

14.33

14.33

19.33

19.54

20.07

20.67

41-45 tahun

19.33

5.00

       

46-50 tahun

19.54

5.21

0.21

32-40 tahun

20.07

5.74*

0.74

0.53

   

20-31 tahun

20.67

6.34*

1.34

1.13

0.60

 

* Menandakan ada perbezaan yang signifikan

 

 

 

 

Jadual VII: Ujian Scheffe Perbezaan Dimensi Sikap Keseronokan

Umur

 

>50 tahun

41-45 tahun

20-31 tahun

46-50 tahun

32-40 tahun

< 20

tahun

 

 

Min

           

>50 tahun

13.00

13.00

17.75

19.00

19.36

19.79

21.00

41-45 tahun

17.75

4.75

         

20-31 tahun

19.00

6.00

1.25

       

46-50 tahun

19.36

6.36*

1.61

0.36

     

32-40 tahun

19.79

6.79*

2.04

0.79

0.43

   

< 20 tahun

21.00

8.00*

3.25

2.00

1.64

1.21

 

 

* Menandakan ada perbezaan yang signifikan

 

  1. Kesimpulan

 

Dari sikap kerisauan terdapat masih ramai golongan pentadbir sekolah menganggap bahawa mereka tidak senang orang bercakap tentang komputer (87%); tidak selesa dan tertekan jika menggunakan komputer (85%); komputer kerap mengganggu kelicinan pentadbiran sekolah (76%); dan tidak berupaya menggunakan komputer (74%). Sikap ini memang bercanggah dengan pendapat Cheever et.al. (1986) dan Wan Mohd. Zahid (1993) yang mengatakan bahawa "komputer meningkatkan kecekapan dalam operasi pentadbiran". Ini diperkukuhkan lagi dengan sikap yang amat negatif di mana hampir 100% golongan pentadbir mengatakan mereka tidak bersetuju/sangat tidak bersetuju bahawa komputer membantu memudahkan kerja mereka.

 

Agak tidak keterlaluan kalau dikatakan sikap pentadbir terhadap penggunaan komputer dalam pengurusan sekolah di Sarawak, khususnya di Kuching, masih terlalu dingin dan mundur. Apakah masih ramai di kalangan pihak pentadbir sekolah yang masih fobia tentang komputer? Namun masih ramai golongan pentadbir memiliki sikap seronok dan kesediaan belajar sendiri menggunakan komputer (77%) dan lebih 92% bersetuju mengikuti kelas komputer. Dari segi umur terdapat perbezaan yang signifikan di antara pentadbir golongan lebih 50 tahun dengan mereka yang berumur di antara 20 hingga 40 tahun. Golongan umur yang lebih muda mempunyai sikap kerisauan dan sikap keseronokan komputer yang lebih tinggi berbanding dengan golongan umur lebih 50 tahun. Ini mungkin kerana golongan umur lebih 50 tahun menganggap mereka sudah menghampiri masa persaraan dan sudah tidak memerlukan komputer lagi.

 

Dalam menuju ke alaf baru, apa jua sikap negatif terhadap penggunaan komputer harus dibenteras dan dikikiskan. Satu anjakan paradigma dan usaha bersungguh-sungguh ke arah perkembangan teknologi maklumat terkini amatlah dituntut sekiranya kita mahu melihat kewujudan Sekolah Bestari, Koridor Raya Multimedia (MSC) dan merealisasikan pendidikan bertaraf dunia.

 

BIBLIOGRAFI

Chee Liew Seong (1986) . "Komputer Dalam Pendidikan" , Jurnal

Kementerian Malaysia , Jld 30 , Keluaran 68.

Cheever, Cobum, Di Giammarino, Kelman, Lowd, Naiman, Sayer, Temkin,

Zimmerman (1986). School Administrator’s Guide to Computers in

Education. USA : Addison-Wesley Pub. Co., Inc.

Crawford, J. (1985). Administrative Uses of Microcomputer : Needs

Evaluation. NASSP Bulletin. 69(474). 70-72.

Jo, M. (1996), Computer Use in Korean Schools: Instruction and

Administration, Journal of Computer Education, 20(4), 197-205.

Mohamad Rashid Ravi Bax. (1987) . Adminitrative Uses Of

Microcomputer In West Malaysia Vocational and Technical

Secondary School. Kajian Ilmiah Sarjana Sains , University of Iowa.

Mustafa bin Sidi , (1995), Penggunaan Komputer dalam Pengurusan

Sekolah-sekolah Menengah Daerah Kuantan, Tesis Sarjana, Institut

Aminudin Baki dan Universiti Teknologi Malaysia.

New Straits Times, 3 Ogos 1989.

Rofidah Sahan bt. Mustafa (1989) . A Study Of Computer Usage In

Secondary School : Case Study In Book Scheme Loan, Kajian

Ilmiah Sarjana Sains , Universiti Pertanian Malaysia.

Steers, R.M. dan Black, J.S.(1994). Organizational Behavior. New York:

HarperCollins College Publishers.

Utusan Malaysia, 27 Disember 1997. m.s 39.

Wan Mohd. Zahid Mohd. Nordin (1993). Wawasan Pendidikan, Agenda

Pengisian. K.L : Nurin Enterprise.

Zulkifli Abdul Manaf Dan Raja Maznah Raja Hussain (1994). Attitudes,

Knowledge And Previous Computer Experience Of Teacher

Trainees In The Diploma Of Education Programme At The

University Of Malaya.Journal Of Education Research, Fakulti

Pendididkan, University Malaya, Jilid 16, 1-19.