MASALAH DISIPLIN PELAJAR DAN PENYELESAIANNYA DARI PERSPEKTIF PENGETUA SEKOLAH
 
by
 
Azizah Lebai Nordin
Fakulti Pendidikan
Universiti Malaya
 
Abstract

 
Kertas Kerja ini membincang tentang status atau keadaan disiplin pelajar tingkatan 4 di sekolah-sekolah menengah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Perkara-perkara lain yang turut dibincangkan ialah faktor-faktor yang menyumbang kepada masalah disiplin dan strategi yang dijalankan oleh sekolah dalam membendung dan mengatasi masalah tersebut. Dalam kajian ini pengkaji telah menghantar soal selidik kepada semua sekolah menengah di Wilayah Persekutuan. Daripada hasil dapatan soal selidik tersebut pengkaji telah menemubual 8 orang pengetua, 4 orang mewakili sekolah bermasalah dan 4 lagi mewakili sekolah tidak bermaalah atau menghadapi masalah disiplin yang paling minimal. Hasil kajian menunjukkan ponteng sekolah merupakan masalah yang tertinggi yang dihadapi oleh sekolah-sekolah di Wilayah Persekutuan. Tidak terdapat perbezaan di antara sekolah gred A dan B dalam menghadapi masalah disiplin. Tidak terdapat perbezaan di antara sekolah lelaki, sekolah perempuan dan sekolah bercampur dalam menghadapi masalah disiplin kecuali masalah laku musnah. Di antara faktor yang menyumbang kepada masalah disiplin pelajar ialah latar belakang keluarga, kekurangan minat terhadap pelajaran, pelajar bekerja sambilan, pengaruh persekitaran, pengaruh rakan sebaya, pengaruh media massa, faktor kekurangan guru dan ketidakhadiran guru ke sekolah dan faktor diri pelajar sendiri. Di antara strategi yang dijalankan oleh sekolah dalam membendung dan mengatasi masalah disiplin daripada berlaku ialah dengan memaklumkan peraturan sekolah kepada pelajar dan ibu bapa, mengadakan sistem bonus, sistem mentor-mentee, mengadakan program di hujung semester dan melibatkan pihak luar seperti polis. Kebanyakan sekolah mengikut prosedur yang ditetapkan oleh sekolah dalam mengambil tindakan ke atas pelajar yang melanggar disiplin sekolah.
 

 

Last updated: 13 July, 1998
URL:https://members.tripod.com/~Devadason/seminar/Azizah.html
E-mail:drobertp@tm.net.my