Persepsi Pelajar Sekolah Bestari Tentang Pengajaran Pembelajaran Bahasa Melayu
1999
Maktab Perguruan Batu Lintang
Razali bin Haji Yu
razali@tm.net.my

Kajian ini cuba melihat secara umum kejayaan yang dicapai oleh sekolah bestari dalam konteks pengajaran dan pembelajaran dari sudut pandangan pelajar. Tumpuan khusus ialah bahasa Melayu yang menjadi salah satu daripada empat mata pelajaran perintis dalam memperkenalkan sekolah bestari. Hasil penyelidikan yang melibatkan 190 orang pelajar dari sekolah-sekolah bestari di Sarawak menunjukkan persepsi yang positif terhadap pelaksanaan sekolah bestari.

 

Tujuan:

  1. Mengetahui pandangan pelajar tentang pengajaran pembelajaran bahasa Melayu sekolah bestari.
  2. Mengenalpasti cara pengajaran pembelajaran bahasa Melayu di sekolah bestari
  3. Mengenalpasti aspek yang menarik minat dan perhatian pelajar tentang pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di sekolah bestari

Soalan:

  1. Adakah pelajar suka terhadap perubahan yang cuba ditonjolkan melalui pengajaran pembelajaran bahasa Melayu yang berlandaskan konsep sekolah bestari?
  2. Adakah perubahan dari segi pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu sekolah bestari ditonjolkan guru di bilik darkah?
  3. Apakah aspek dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu sekolah bestari yang menarik minat pelajar?

 

Metodologi (Sampel):

  1. Kajian ini hanya melibatkan pelajar-pelajar di sekolah-sekolah bestari di Sarawak yang dipilih secara rawak. Sekolah-sekolah berkenaan ialah SMK Three Rivers, Mukah, SMK (BM) Saratok dan Kolej Tun Datuk Tuanku Haji Bujang, Miri. Ia melibatkan pelajar kumpulan pertama diperkenalkan dengan sekolah bestari pada tahun 1998.
  2. Secara kebetulan, guru yang mengajar kelas-kelas berkenaan ialah guru-guru bahasa Melayu yang telah mengikuti latihan 14 minggu sekolah bestari di Maktab Perguruan Batu Lintang, Kuching.

 

Metodologi (Instrumen & Pentadbiran Kajian):

Kajian ini merupakan kajian tinjauan. Kajian dijalankan dengan menggunakan borang soal selidik yang telah diagihkan kepada pelajar-pelajar sekolah bestari secara rawak. Tumpuan khusus kajian ini ialah pelajar tingkatan satu dan empat yang belajar bahasa Melayu di sekolah bestari.

 

Dapatan Kajian:

  1. Lebih 60% pelajar meminati pengajaran pembelajaran bahasa Melayu di sekolah bestari.
  2. Perubahan-perubahan yang guru ketengahkan dalam konteks bahasa Melayu di sekolah bestari khususnya dari segi pengajaran dan pembelajaran telah mendapat sambutan yang amat positif.
  3. Aspek yang paling diminati ialah iklim pembelajaran yang banyak memberi keluwesan, bahan yang mencabar dan berarahan kendiri yang jelas, guru yang dedikasi dan kreatif dan pengenalan kepada teknologi maklumat.

 

Cadangan:

  1. Guru bestari harus diberi latihan yang secukupnya untuk memahami keseluruhan konsep pedagogi yang menjadi tunjang sekolah bestari.
  2. Sebagai seorang guru, kita harus memberi keluwesan dalam banyak perkara kepada pelajar dan berikan mereka peranan yang mencabar serta galakkan mereka berfikir.
  3. Sekolah bestari harus mempunyai iklim pembelajaran yang sesuai dengan ruang dan peluang untuk mendapatkan maklumat yang lebih terbuka dan pelbagai. Kemudahan teknologi yang mencukupi termasuk teknologi maklumat harus diambilkira oleh pihak pengurusan sekolah.