Refleksi Praktikum I: Persepsi Guru Pelatih Terhadap Pengajaran dan Pembelajaran Kajian Tempatan
1998
Maktab Perguruan Batu Lintang
Saidon Mat
saidon2010@hotmail.com

Kajian ini merupakan kajian tinjauan yang bertujuan untuk melihat persepsi guru pelatih terhadap pengajaran dan pembelajaran Kajian Tempatan yang mereka laksanakan di sepanjang praktikum 1 di sekolah-sekolah rendah. Sebanyak 6 dimensi digunakan untuk mengukur persepsi guru pelatih iaitu dimensi Perancangan dan Penyampaian, dimensi Proses Pengajaran, dimensi Alat Bantu Mengajar, dimensi Kawalan Kelas dan Disiplin Murid dan dimensi Suasana Fizikal Bilik Darjah. Kajian ini menggunakan satu soalsedik diperolehi dari sumbangsaran dalam empat sesi 'Refleksi Pengajaran dan Pembelajaran Kajian Tempatan dalam Praktikum I' yang dijalankan bersama guru pelatih di dalam kelas. Soalselidik ini kemudian ditadbirkan ke atas 30 orang guru pelatih yang telah menamatkan program Praktikum sebagai sampel kajian ini. Data kajian telah dianalisis menggunakan deskripsi kekerapan. Hasil dapatan menunjukkan pada keseluruhannya lebih 50% guru pelatih mempersepsikan mereka dapat menguasai 70% kemahiran-kemahiran dalam enam dimensi kajian dan 33% menyatakan mereka hanya dapat menguasai sekurang-kurangnya 50% daripada keseluruhan kemahiran dalam pengajaran dan pembelajaran Kajian Tempatan.

 

Tujuan:

1.     Mengenal pasti persepsi guru pelatih terhadap pengajaran dan pembelajaran Kajian Tempatan di sepanjang masa Praktikum I

2.     Mengenal pasti tahap-tahap pencapaian atau penguasaan kemahiran pelatih ke atas dimensi-dimensi pengajaran dan pembelajaran Kajian Tempatan

3.     Mengenal pasti tahap keseluruhan penguasaan guru pelatih ke atas pengajaran dan pembelajaran Kajian Tempatan

 

Soalan:

1.     Apakah persediaan guru pelatih untuk pengajaran dan pembelajaran Kajian Tempatan?

2.     Apakah kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai untuk mengajar Kajian Tempatan ?

3.     Apakah strategi terbaik untuk pengajaran dan pembelajaran Kajian Tempatan yang lebih berkesan?

4.     Adakah persediaan yang dibuat oleh pensyarah di bilik-bilik kuliah dapat membantu semasa guru pelatih menjalani pengajaran dan pembelajaran Kajian Tempatan?

 

Metodologi (Sampel):

 Pelatih-pelatih Semester 3 yang mengambil mata pelajaran Kajian Tempatan dan mengajar subjek Kajian Tempatan semasa Praktikum I

 

Metodologi (Instrumen & Pentadbiran Kajian):

 Kajian ini adalah kajian tinjauan dan dijalankan dengan menggunakan satu set soalselidik yang ditadbirkan kepada sampel-sampel yang terdiri daripada guru pelatih Semester 3 yang mengambil mata pelajaran Kajian Tempatan sebagai elektif.

Item-item soalselidik di dapati dari sumbangsaraan dalam slot Refleksi Pengajaran Pembelajaran Kajian Tempatan semaa Praktikum I 1996 dan diperbaiki.

 

Dapatan Kajian:

1.     63.3% guru pelatih mempersepsikan mereka dapat menguasai sekurang-kurangnya 70% segala kemahiran dalam dimensi perancangan pengajaran dan penyampaian.

2.     53.3% daripada guru pelatih mengakui mereka dapat menguasai sekurang-kurangnya 70% kemahiran dalam proses pengajaran.

3.     73.3% guru pelatih mengakui mereka menguasai kira-kira 70% kemahiran dalam membina ABM bagi mata pelajaran Kajian Tempatan.

4.     86.7% guru pelatih yang menyatakan mereka mempunyai kemahiran yang tinggi dalam menyesuaikan suasana pengajaran dan pembelajaran dengan suasana fizikal kelas.

5.     Secara keseluruhannya, 66.7% guru pelatih mengakui mereka dapat menguasai 70% kemahiran-kemahiran dalam berbagai-bagai dimensi pengajaran dan pembelajaran seperti perancangan dan penyampaian, proses pengajaran, penggunaan dan pembinaan ABM, penilaian dan pengukuran, pengawalan kelas dan disiplin dan penyesuaian suasana bilik darjah dengan aktiviti p & p.

 

Cadangan:

1.     Pensyarah kajian Tempatan harus lebih menumpukan kepada perancangan penulisan objektif pengajaran, masa dan aktiviti semasa aktiviti pengajaran danpembelajaran kajian Tempatan.

2.     Pensyarah Kajian Tempatan sebaiknya juga menitikberatkan tentang kemahiran pembinaan alat bantu mengajar serta menggalakkan unsur-unsur inovasi dalam rekaan alat bantu mengajar mereka. Ini dapat membantu guru pelatih membuat pengubahsuaian kepada sebarang alat bantu yang sedia ada di sekolah kelak, jika tidak mempunyai alat bantu yang sepatutnya dikehendaki.